5:37 AM

Calon SPM Dihad Ambil 10 Subjek Sahaja

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah memutuskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan tidak lagi boleh mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, perbincangan mengenainya telah dibuat di peringkat Kementerian Pelajaran dan keputusan itu juga sekali gus membawa perubahan dalam sistem penggredan mata pelajaran.

‘‘Kita akan mengehadkan 10 subjek sahaja untuk peperiksaan SPM pada tahun 2010 dan kementerian perlu membuat beberapa perubahan dalam penggredannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Nilai dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, berdasarkan keadaan semasa, jumlah pelajar yang mengambil lebih 10 subjek pada peperiksaan SPM tahun lalu cuma 48,000 berbanding 500,000 yang mendudukinya seluruh negara.

‘‘Cuma 10 peratus yang mengambil lebih 10 subjek. Kita percaya dengan perubahan ini, 90 peratus pelajar yang kekal dalam 10 subjek atau kurang akan memperlihatkan angka yang sama tahun ini.

‘‘Perkembangan ini sudah tentulah memberikan impak positif dalam kaedah pengajaran guru di sekolah kerana mereka boleh menumpukan khusus kepada 10 subjek berkenaan.

‘‘Selain itu ia juga mengurangkan kos kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen kerana pengajaran dalam subjek pilihan tidak dibuat secara konsisten di sekolah,” kata beliau.

Muhyiddin juga menjelaskan, ketika ini kekemasan pelaksanaan peperiksaan 10 subjek dalam SPM itu sedang diperincikan oleh pegawai di kementerian berkenaan.

‘‘Memang sistem penggredan akan berlaku perubahan dan kita akan melihat kemungkinan pelajar mendapat A+, A atau A- atau B+, B mahupun B- bertambah ramai.

‘‘Ini akan diperhalusi kerana ia juga akan melihat kaedah terbaik dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dalam subjek terbabit. Ia akan dilakukan dengan sebaik mungkin,” kata beliau.

Semalam Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sekumpulan ahli akademik dan profesional telah memulakan kajian terhadap cadangan kerajaan untuk mengehadkan jumlah subjek yang boleh diambil pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, kajian itu yang dijalankan atas arahan Timbalan Perdana Menteri akan melibatkan semua aspek.

Antara aspek yang dikaji ialah perbandingan tahap kecemerlangan pelajar termasuk mengkaji apakah pelajar yang memperoleh 21A itu cemerlang, tetapi mereka yang skor A dalam semua sembilan mata pelajaran yang diambil tidak cemerlang.Dalam kajian yang dibuat itu juga, kementerian tersebut ingin mendapatkan kepastian tujuan sebenar pelajar berkenaan mengambil lebih daripada 10 subjek dan rasionalnya mengambil subjek bertindih dan skor A.

Beliau seterusnya mencadangkan dana asing ditubuhkan menerusi sumbangan wang oleh syarikat-syarikat mega kepunyaan bukan Melayu yang mendapat kontrak daripada projek-projek kerajaan.

Ketua Umum, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula menyokong pemberian biasiswa JPA berdasarkan meritokrasi dengan pembahagian 60 peratus kepada bumiputera dan 40 peratus kepada bukan bumiputera.

Menurutnya, rasional pengagihan dengan kadar itu ialah orang-orang Melayu masih ketinggalan dalam bidang pendidikan berikutan pencapaian ekonomi keluarga yang masih rendah.

Katanya, calon yang mempunyai keupayaan menyeluruh sebagai kriteria layak menerima biasiswa tidak perlu diwajibkan sebaliknya yang penting pelajar Melayu berpeluang melanjutkan pelajaran menerusi biasiswa.

Syed Anuar Syed Mohamad selaku Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula berpandangan, pemberian biasiswa cara meritokrasi adalah cara terbaik.

Bagaimanapun tegasnya, kuota biasiswa untuk bumiputera seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia tidak perlu disentuh.

Dalam pada itu beliau bersetuju kriteria pemberian biasiswa berasaskan keupayaan menyeluruh pelajar kerana kini 10 peratus aktiviti kokurikulum juga jadi penentu pelajar memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

GPMS dalam perkara ini katanya selalu menasihati pelajar mengambil peluang tersebut untuk melayakkan mereka ke IPTA.


sumber: Portal Pendidikan Utusan

0 comments: