7:47 AM

Pesta Buku Negeri Selangor 2009


Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan menganjurkan PESTA BUKU SELANGOR 2009. Ia merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Pelaksanaan Pesta Buku ini adalah dengan kerjasama Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri, Persekutuan, Swasta, NGO dan kerjasama Media. Diantara yang terlibat ialah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Agama Islam Selangor, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor (BTPN), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor FM, PTS Millennia, Karangkraf, Sinar Harian, Selangor fm, e-Media & Celcom

Butiran lanjut mengenai Pesta Buku Negeri Selangor adalah seperti berikut :

  • Tempat : Kompleks PKNS, Shah Alam
    Tarikh : 24 Julai – 3 Ogos 2009
    Jam : 10 pagi – 9 malam
  • 5:37 AM

    Calon SPM Dihad Ambil 10 Subjek Sahaja

    Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah memutuskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan tidak lagi boleh mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, perbincangan mengenainya telah dibuat di peringkat Kementerian Pelajaran dan keputusan itu juga sekali gus membawa perubahan dalam sistem penggredan mata pelajaran.

    ‘‘Kita akan mengehadkan 10 subjek sahaja untuk peperiksaan SPM pada tahun 2010 dan kementerian perlu membuat beberapa perubahan dalam penggredannya,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas Kompleks Pendidikan Bandar Enstek, Nilai dekat sini hari ini.

    Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang.

    Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, berdasarkan keadaan semasa, jumlah pelajar yang mengambil lebih 10 subjek pada peperiksaan SPM tahun lalu cuma 48,000 berbanding 500,000 yang mendudukinya seluruh negara.

    ‘‘Cuma 10 peratus yang mengambil lebih 10 subjek. Kita percaya dengan perubahan ini, 90 peratus pelajar yang kekal dalam 10 subjek atau kurang akan memperlihatkan angka yang sama tahun ini.

    ‘‘Perkembangan ini sudah tentulah memberikan impak positif dalam kaedah pengajaran guru di sekolah kerana mereka boleh menumpukan khusus kepada 10 subjek berkenaan.

    ‘‘Selain itu ia juga mengurangkan kos kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen kerana pengajaran dalam subjek pilihan tidak dibuat secara konsisten di sekolah,” kata beliau.

    Muhyiddin juga menjelaskan, ketika ini kekemasan pelaksanaan peperiksaan 10 subjek dalam SPM itu sedang diperincikan oleh pegawai di kementerian berkenaan.

    ‘‘Memang sistem penggredan akan berlaku perubahan dan kita akan melihat kemungkinan pelajar mendapat A+, A atau A- atau B+, B mahupun B- bertambah ramai.

    ‘‘Ini akan diperhalusi kerana ia juga akan melihat kaedah terbaik dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dalam subjek terbabit. Ia akan dilakukan dengan sebaik mungkin,” kata beliau.

    Semalam Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sekumpulan ahli akademik dan profesional telah memulakan kajian terhadap cadangan kerajaan untuk mengehadkan jumlah subjek yang boleh diambil pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Menurutnya, kajian itu yang dijalankan atas arahan Timbalan Perdana Menteri akan melibatkan semua aspek.

    Antara aspek yang dikaji ialah perbandingan tahap kecemerlangan pelajar termasuk mengkaji apakah pelajar yang memperoleh 21A itu cemerlang, tetapi mereka yang skor A dalam semua sembilan mata pelajaran yang diambil tidak cemerlang.Dalam kajian yang dibuat itu juga, kementerian tersebut ingin mendapatkan kepastian tujuan sebenar pelajar berkenaan mengambil lebih daripada 10 subjek dan rasionalnya mengambil subjek bertindih dan skor A.

    Beliau seterusnya mencadangkan dana asing ditubuhkan menerusi sumbangan wang oleh syarikat-syarikat mega kepunyaan bukan Melayu yang mendapat kontrak daripada projek-projek kerajaan.

    Ketua Umum, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula menyokong pemberian biasiswa JPA berdasarkan meritokrasi dengan pembahagian 60 peratus kepada bumiputera dan 40 peratus kepada bukan bumiputera.

    Menurutnya, rasional pengagihan dengan kadar itu ialah orang-orang Melayu masih ketinggalan dalam bidang pendidikan berikutan pencapaian ekonomi keluarga yang masih rendah.

    Katanya, calon yang mempunyai keupayaan menyeluruh sebagai kriteria layak menerima biasiswa tidak perlu diwajibkan sebaliknya yang penting pelajar Melayu berpeluang melanjutkan pelajaran menerusi biasiswa.

    Syed Anuar Syed Mohamad selaku Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula berpandangan, pemberian biasiswa cara meritokrasi adalah cara terbaik.

    Bagaimanapun tegasnya, kuota biasiswa untuk bumiputera seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia tidak perlu disentuh.

    Dalam pada itu beliau bersetuju kriteria pemberian biasiswa berasaskan keupayaan menyeluruh pelajar kerana kini 10 peratus aktiviti kokurikulum juga jadi penentu pelajar memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

    GPMS dalam perkara ini katanya selalu menasihati pelajar mengambil peluang tersebut untuk melayakkan mereka ke IPTA.


    sumber: Portal Pendidikan Utusan

    11:47 PM

    Aktiviti Sukan Sempena Hari Guru

    BP menguruskan pertandingan yang bertema 'Ratu Surat Khabar' seperti yang telah ditetapkan oleh BSR (Biro Sukan dan Rekreasi). Guru pelatih yang mengertai pertandingan ini terdiri daripada kakak KPLI. Mereka memberikan kerjasama yang baik dan proaktif dalam pertandingan ini. Pelbagai ragam dan gelagat terpamer ketika sesi menyiapkan ratu kumpulan.

    Mereka melakukan kerja dengan pantas dan idea yang datang mencurah-curah menyebabkan saya memanjangkan waktu pertandingan. Hasilnya tidak menghampakan apabila ratu setiap kumpulan tampak cantik bergaya dengan rekaan baju masing-masing. Tahniah dan syabas diucapkan atas kerjasama yang diberikan!!!





    BIRO PENDIDIKAN 2009/2010
    AKTIVITI SUKAN HARI GURU 2009

    PERTANDINGAN RATU SURAT KHABAR

    Syarat dan peraturan permainan:

    Lapan unit daripada unit KPLI wajib menghantar sepasukan yang terdiri daripada 4 orang pemain acara ini.


    Seorang daripada peserta akan menjadi ratu yang akan dipakaikan pakaian yang diperbuat daripada surat khabar.


    Tiga orang ahli kumpulan yang lain pula akan dipertanggungjawabkan untk mereka bentuk pakaian mengikut daya kreativiti tersendiri.


    Peserta menggunakan peralatan yang disediakan oleh pihak penganjur.


    Penambahan aksesori lain adalah dibenarkan.


    Masa yang diperuntukkan hanya 20 minit.


    Setelah selesai, ratu perlu membuat gaya yang menarik untuk mempersembahkan pakaiannya.


    Kumpulan yang tidak mematuhi peraturan pertandingan akan tersingkir daripada pertandingan.


    Cara permainan :

    Pemain akan menggunakan kreativiti masing-masing untuk menghasilkan pakaian yang tercantik untuk dipakaikan kepada ratu.
    Ratu akan menggayakan pakaian.


    Instrumen penilaian :

    Pemarkahan terbahagi kepada empat bahagian :

    Kreativit – 60
    Penampilan ratu – 20
    Kekemasan – 10
    Sahsiah – 10

    11:10 PM

    Persiapan Sambutan Hari Guru Peringkat IPGM Kampus Perempuan Melayu

    Pada 18 Mei 2009 , Sambutan Hari Guru telah diadakan. Tugas utama BP ialah menyiapkan latar (backdrop) dan buku program.

    Kerjasama dalam biro adalah tunggak utama kejayaan menyiapkan tugasan yang diamanahkan. Sesungguhnya saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja bersama-sama ahli biro yang lain..
    Aisyah n Amal...
    terima kasih daun keladi...



    ~Pengorbanan masa dan tenaga bukan sesuatu yang
    mudah diberi tanpa keikhlasan di hati.
    ~ Amanah dipikul kerana ikrar tersemat kukuh di hati.
    ~ Tiap cabaran dihadapi pasti!

    10:21 PM

    ...WANITA SOLEHAH...

    Wanita solehah itu aurat dijaga,

    Pergaulan dipagari,

    Sifat malu pengikat diri,

    Seindah hiasan di dunia ini,

    Keayuan wanita solehah itu tidak terletak pada kecantikan wajahnya,

    Kemanisan wanita solehah tidak terletak pada kemanjaannya,

    Daya penarik wanita solehah itu bukan pada kemanisan bicaranya
    yang menggoncang iman para muslimin

    Dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannyabermain lidah memujuk rayu

    Bukan dan tidak sama sekali,

    Kepetahan wanita solehah bukan pada barang kemas atau perihal orang lain

    Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama,

    Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa yang indah bak permata yang menyeri alam

    Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu serta pandangan dari segala aspek

    Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada...akhlaknya,
    Itupun seandainya hati itu bersih untuk dinilai,

    Wahai wanita jangan dibangga dengan kecantikan luaran,

    Kerana satu hari nanti ianya akan lapuk ditelan zaman,

    Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman,

    Agar diri kita bersih dan sentiasa mendapat rahmat Ilahi,

    Wahai wanita jangan dibangga dengan ilmu duniawi yang kau kuasai,

    Kerana ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darimu,

    Wahai wanita jangan pula berdukacita ataskekurangan dirimu,

    Kerana ada lagi insan yang lebih malang darimu,

    Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,

    Kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut

    pada wanita hanya kerana kecantikan parasnya,Bersyukurlah atas apa yg ada

    Serta berusaha demi keluarga, bangsa, dan agama,

    Salam perjuangan untuk sahabatku semua...

    1:14 AM

    Kuala Lumpur International Book Fair 2009

    Pesta Buku Antarabangsa yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur pada 17 hingga 26 April yang lalu telah memberi buah fikiran kepada Biro Pendidikan untuk menghantar guru pelatih IPGM Kampus Perempuan Melayu Melaka melawat tempat pameran tersebut. Lawatan yang berlangsung pada 19, 25 dan 26 April yang lalu bertujuan untuk menggalakkan sikap membaca dalam kalangan guru pelatih.

    Biro Pendidikan selaku biro yang menganjurkan lawatan ini telah membuka penyertaan seramai 40 orang pada 19 April, 80 orang pada 25 April dan 40 orang pada 26 April menjadikan jumlah keseluruhan guru pelatih yang menyertai lawatan ini seramai 160 orang. Walaupun sudah banyak peluang penyertaan yang dibuka, namun masih banyak permintaan kerana terlalu ramai guru pelatih yang berminat untuk menyertainya.

    Sepanjang berada di sana, guru-guru pelatih berpeluang bersua muka dengan ramai penulis buku terkenal tanah air seperti SN A. Samad Said, Fatimah Syarha dan ramai lagi. Penulis dari negara seberang, Habiburrahman El-Shirazy juga turut hadir sama untuk bertemu dengan peminat hasil tulisannya.

    Habiburrahman El-Shirazy


    SN A. Samad Said

    Secara keseluruhannya, lawatan ini telah memberi banyak impak positif dalam kalangan guru pelatih di samping berjaya mencapai objektif yang ingin dicapai. Diharapkan agar aktiviti seperti ini dapat diadakan lagi pada masa yang akan datang.

    10:19 PM

    KURSUS KEMAHIRAN BERFIKIR


    AKTIVITI YANG TELAH DIJALANKAN;
    Pada 17 April 2009, biro pendidikan telah menjalankan kursus kemahiran berfikir. kursus ini telah mengambil tempat di Dewan Tun Fatimah , IPGM-Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Penyertaan daripada guru pelatih adalah sangat menggalakkan dan diharap agar kursus ini dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada guru pelatih. Penerapan ilmu kemahiran berfikir bukan sahaja penting ketika menjalani tempoh pengajaran dan pembelajaran, malahan juga penting untuk menjadikan seseorang individu itu bijak dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan kelak.